bee
Lanjutan dari kisah siri pertama iaitu kisah korban anak Nabi Adam, kini ana kisahkan pula tentang pengorbanan Nabi Ibrahim, isterinya Siti Hajar serta anaknya Ismail as.

Kisah 2: KISAH KORBAN ANAK NABI IBRAHIM

Allah SWT telah memilih Nabi Ibrahim berada dari golongan orang yang beriman kepadaNya. Walaupun dilahir dan dibesarkan bukan didalam keluarga yang beriman kepada Allah, bapanya Azar menyembah berhala, Baginda tetap merasakan bahawa dengan menyembah berhala itu adalah salah dan sesat. Allah menjadikan Ibrahim seorang yan bijak menilai. Dicampak Allah akan rasa logik akal yang memnyembah patung itu adalah sia-sia. Sedangkan patung itu sendiri dibuat oleh tangan-tangan manusia, bahkan patung itu juga tidak dapat berbuat apa-apa. Didatangi fitrah manusia akan rasa ingin menyembah Pencipta, suatu malam Ibrahim merasakan bahawa bintang di langitlah penciptanya, namun bila tiba hari yang terang, maka hilanglah bintang tersebut. Oleh sebab itu, ketahuilah Ibrahim yang bintang itu bukanlah pencipta kerana ia hilang setelah muncul pada waktu malam. Sesungguhnya pencipta itu tidaklah sekejap ada sekejap hilang. Dari situlah Allah SWT. memberi hidayah kepada Ibrahim as.

Ibrahim telah berkahwin dengan Siti Sarah, seorang wanita Yahudi bangsawan. Bertahun lamanya tidak dikurniakan anak. Maka Ibrahim berkahwin lagi dengan seorang wanita hadiah daripada raja Mesir ketika itu, Siti Hajar. Berlainan asal taraf hidup dengan Siti Sarah, Siti Hajar adalah wanita berketurunan hamba, bukan dari bangsa Yahudi. Dengan Siti Hajar, dikurniakan seorang anak lelaki, namanya Ismail. Ketika inilah bermulanya keretakkan rumahtangga mereka- Siti Sarah merasakan Ibrahim lebih banyak mendekati Siti Hajar sehingga dapat melahirkan zuriat serta setelah adanya Ismail, Ibrahim lebih banyak meluangkan masa bermain dengan putera sulungnya. Sedangkan dia sudah bertahun bersama Ibrahim tetapi tetap belum dikurniakan anak. Tambahan pula Siti Hajar itu tidaklah sama taraf hidupnya dengan Siti Sarah yang memang berasal dari golongan bangsawan. Dari kejadiaan itulah, Siti Sarah meminta suaminya menjauhkan Siti Hajar untuk ditinggalkan di suatu tempat supaya akan dijumpai orang lalu diambil orang yang menjumpai mereka. Dengan hikmah tersembunyi, Allah telah perintahkan Ibrahim as. menuruti keinginan Siti Sarah lalu membawa Siti Hajr ke suatu tempat yang kering dari rezeki dan tidak diduduki orang untuk ditinggalkan seorang diri bersama putera kecilnya itu. Ibrahim as. sedar inilah ujian demi ujian yang Allah berikan kepadanya demi menguji keimanannya. Dengan rasa berserah diri kepada Allah, maka Ibrahim as. pun membawa Siti Hajar dan Ismail dari Palestin ke tempat yang dia sendiri tidak tahu tanpa pengetahuan Siti Hajar akan niat Ibrahim as. untuk meninggalkan dirinya. Ditunggangi unta oleh mereka, Ibrahim hanya berserah kemana unta itu akan berhenti kelak. Disitulah tempat yang akan Ibrahim tinggalkan mereka nanti. Setelah beberapa hari melalui padang pasir yang panas terik, tiadalah pohon-pohon untuk berteduh, gelap gelita dimalam hari, sudahlah tidak dihuni orang, apabila sampai, -di lembah Makkah, di tempat di mana Masjidil Haram sekarang berada, berhentilah unta Nabi Ibrahim as. mengakhiri perjalanannya dan di situlah ia meninggalkan Hajar bersama puteranya dengan hanya dibekali dengan serantang bekal makanan dan minuman sedangkan keadaan sekitarnya tiada tumbuh-tumbuhan, tiada air mengalir, yang terlihat hanyalah batu dan pasir kering. Tibalah masanya Ibrahim as. meninggalkan Siti Hajar. Kesedihan Siti Hajar tidak dapat disembunyikan apabila mengetahui suaminya mahu meninggalkan dirinya seorang diri bersama Ismail mengundang perasaan sayu oleh Ibrahim as. Alangkah sayunya perasaan Ibrahim as. apabila mahu melangkah pergi, terasa berat hatinya mahu meninggalkan isteri tercinta. Namun itulah dia, wanita solehah yang dipilih oleh Allah SWT. yang akan menghuni syurgaNya. Dengan rasa redha atas segala perintah Allah SWT., dibiarkan Ibrahim pergi meninggalkan mereka demi menurut perintah Allah...

Setelah itu, Ibrahim as. pulang semula ke Palestin untuk bersama Sarah. Didalam hatinya sentiasa memohon kepada Allah SWT., agar diselamatkan isteri dan anaknya. Ia berkata dalam doanya:

" Wahai Tuhanku! Aku telah tempatkan puteraku dan anak-anak keturunannya di dekat rumah-Mu (Baitullahil Haram) di lembah yang sunyi dari tanaman dan manusia agar mereka mendirikan solat dan beribadat kepada-Mu. Jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berilah mereka rezeki dari buah-buahan yang lazat, mudah-mudahan mereka bersyukur kepada-Mu."

Dilembah Makkah yang tiada penghuni itulah Siti Hajar bersama putera kesayangannya. Ketika Siti Hajar keseorangan bersama puteranya, kesabarannya tetap menebal. Dari Bukit Safa ke Bukit Marwah lah Siti Hajar berlari-lari anak mencari air untuk diberikan kepada anaknya. Disinilah umat Islam melakukan rukun sa'i ketika menunaikan haji. Dengan kuasa Allah SWT., dihujung tapak kaki Ismail rupanya keluar air. Di situlah tempatnya kini dipanggil telaga Zamzam. Air Zamzam inilah kurnian dari Allah SWT., bagi membantu hambanya yang beriman.

Dengan terpancutnya air Zamzam telah menarik burung-burung berterbangan mengelilingi tempat itu, menarik pula perhatian sekelompok bangsa Arab dari suku Jurhum yang merantau dan sedang berkhemah di sekitar Makkah. Mereka mengetahui dari pengalaman bahawa di mana ada terlihat burung di udara, nescaya dibawahnya terdapat air, maka diutuslah oleh mereka beberapa orang untuk memeriksa kebenaran ini. Para pemeriksa itu pergi mengunjungi daerah di mana Hajar berada, kemudian kembali membawa berita gembira kepada kaumnya tentang mata air Zamzam dan keadaan Hajar bersama puteranya. Segera sekelompok suku Jurhum itu memindahkan perkhemahannya ke tempat sekitar Zamzam, di mana kedatangan mereka disambut dengan gembira oleh Hajar kerana adanya sekelompok suku Jurhum di sekitarnya, ia memperolehi jiran-jiran yang akan menghilangkan kesunyian dan kesepian yang selama ini dirasakan di dalam hidupnya berduaan dengan puteranya saja.

Nabi Ibrahim dari masa ke semasa pergi ke Makkah untuk mengunjungi dan menjenguk Ismail di tempat pengasingannya bagi menghilangkan rasa rindu hatinya kepada puteranya yang ia sayangi serta menenangkan hatinya yang selalu rungsing bila mengenangkan keadaan puteranya bersama ibunya yang ditinggalkan di tempat yang tandus, jauh dari masyarakat kota dan pengaulan umum ketika itu. Sewaktu Nabi Ismail sedang membesar, Ibrahim a.s. mendapat mimpi bahwa ia harus menyembelih Ismail puteranya. Dan mimpi seorang nabi adalah salah satu dari cara-cara turunnya wahyu Allah, maka perintah yang diterimanya dalam mimpi itu harus dilaksanakan oleh Ibrahim as. Ia duduk sejurus termenung memikirkan ujian yang maha berat yang ia hadapi. Sebagai seorang ayah yang dikurniai seorang putera yang sejak puluhan tahun diharap-harapkan dan didambakan, seorang putera yang diharapkan menjadi pewarisnya dan penyampung kelangsungan keturunannya, tiba-tiba harus dijadikan korban dan harus direnggut nyawa oleh tangan si ayah sendiri. Sungguh amat berat ujian yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim, namun sesuai dengan firman Allah yang bermaksud:

"Allah lebih mengetahui di mana dan kepada siapa Dia mengamanatkan risalahnya".

Ibrahim as. tidak membuang masa lagi, berazam (niat) tetap akan menyembelih Ismail, puteranya sebagai korban sesuai dengan perintah Allah yang telah diterimanya.

Ismail sebagai anak yang soleh yang sangat taat kepada Allah dan bakti kepada orang tuanya, ketika diberitahu oleh ayahnya maksud kedatangannya kali ini tanpa ragu-ragu dan berfikir panjang berkata kepada ayahnya:

"Wahai ayahku! Laksanakanlah apa yang telah diperintahkan oleh Allah kepadamu. Engkau akan menemuiku insya-Allah sebagai seorang yang sabar dan patuh kepada perintah. Aku hanya meminta dalam melaksanakan perintah Allah itu, agar ayah mengikatku kuat-kuat supaya aku tidak banyak bergerak sehingga menyusahkan ayah, kedua agar menanggalkan pakaianku supaya tidak terkena darah yang akan menyebabkan berkurangnya pahalaku dan terharunya ibuku bila melihatnya, ketiga tajamkanlah parangmu dan percepatkanlah perlaksanaan penyembelihan agar meringankan penderitaan dan rasa pedihku, keempat dan yang terakhir sampaikanlah salamku kepada ibuku. Berikanlah kepadanya pakaian ku ini untuk menjadi penghiburnya dalam kesedihan dan tanda mata serta kenang-kenangan baginya dari putera tunggalnya."

Allahuakbar...tidak dapat ana bayangkan...Maha Suci Allah yang menciptakan alam ini....

Kemudian dipeluknyalah Ismail dan dicium pipinya oleh Ibrahim as. seraya berkata:

"Bahagialah aku mempunyai seorang putera yang taat kepada Allah, bakti kepada orang tua yang dengan ikhlas hati menyerahkan dirinya untuk melaksanakan perintah Allah".

Saat penyembelihan yang mengerikan telah tiba. Diikatlah kedua tangan dan kaki Ismail, dibaringkanlah ia di atas lantai, lalu diambillah parang tajam yang sudah tersedia dan sambil memegang parang di tangannya, kedua mata Ibrahim as. yang tergenang air berpindah memandang dari wajah puteranya ke parang yang mengilap di tangannya, seakan-akan pada masa itu hati beliau menjadi tempat pertarungan antara perasaan seorang ayah di satu pihak dan kewajiban seorang rasul di satu pihak yang lain. Pada akhirnya dengan memejamkan matanya, parang diletakkan pada leher Ismail dan penyembelihan di lakukan . Akan tetapi apa daya, parang yang sudah demikian tajamnya itu ternyata menjadi tumpul dileher Ismail dan tidak dapat berfungsi sebagaimana mestinya dan sebagaimana diharapkan.

Kejadian tersebut merupakan suatu mukjizat dari Allah yang menegaskan bahwa perintah perkorbanan Ismail itu hanya suatu ujian bagi Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sampai sejauh mana cinta dan taat mereka kepada Allah. Ternyata keduanya telah lulus dalam ujian yang sangat berat itu. Nabi Ibrahim telah menunjukkan kesetiaan yang tulus dengan pengorbanan puteranya untuk berbakti melaksanakan perintah Allah sedangkan Nabi Ismail tidak sedikit pun ragu atau bimbang dalam memperagakan kebaktiannya kepada Allah dan kepada orang tuanya dengan menyerahkan jiwa raganya untuk dikorbankan, sampai-sampai terjadi seketika merasa bahawa parang itu tidak lut memotong lehernya, berkatalah ia kepada ayahnya:

" Wahai ayahku! Rupa-rupanya engkau tidak sampai hati memotong leherku karena melihat wajahku, cubalah telengkupkan aku dan laksanakanlah tugasmu tanpa melihat wajahku. "

Akan tetapi parang itu tetap tidak berdaya mengeluarkan setitik darah pun dari daging Ismail walau ia telah ditelengkupkan dan dicuba memotong lehernya dari belakang.
Dalam keadaan bingung dan sedih hati, kerana gagal dalam usahanya menyembelih puteranya, datanglah kepada Nabi Ibrahim wahyu Allah dengan firmannya:

"Wahai Ibrahim! Engkau telah berhasil melaksanakan mimpimu, demikianlah kami akan membalas orang-orang yang berbuat kebajikkan."

Kemudian sebagai tebusan ganti nyawa, Ismail telah diselamatkan, Allah telah menggantikan Ismail dengan seekor kibas yang telah tersedia di sampingnya dan segera dipotong leher kibas tersebut.

Diriwayatkan Nabi Ismail mempunyai 12 anak lelaki dan seorang anak perempuan yang dikahwinkan dengan anak saudaranya, iaitu Al-’Ish bin Ishak. Nabi Ishak adalah adik beradik Nabi Ismail. Ishak as. adalah anak kepada Siti Sarah yang berketurunan bangsawan Yahudi itu. Daripada keturunan Nabi Ismail inilah lahir Nabi Muhammad SAW dari Bani Hasyim. Keturunan Nabi Ismail juga mewujudkan bangsa Arab Musta’ribah.

Dan inilah asal permulaan sunnah berqurban yang dilakukan oleh umat Islam pada setiap Hari Raya Edul Adha di seluruh dunia. Semoga dapatlah kita menghayati makna sebenar amalan korban yang kita lakukan selama ini. Sesungguhnya, maksud yang terkandung di dalam amalan itu lebih jauh perlunya kita serapkan dalam diri kita sebagai hambaNya. Inilah dua contoh pengorbanan (anak Nabi Adam as., Ibrahim as dan Ismail as.) yang dilakukan demi mendapat keredhaan dari Allah yang dapat kita contohi. Semoga Allah juga menerima setiap dari amalan yang kita laku. Amin.

Selamat Menyambut Edul Adha..Maaf zahir & batin..:)
Labels: 0 comments | edit post
bee
Berasal dari 2 kisah iaitu kisah Nabi Adam as. seterusnya ke kisah Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail, 10 Zulhijjah setiap tahun adalah salah satu hari yang berlakunya peristiwa besar bagi kita umat Islam. 10 Zulhijjah inilah, hari yang kita namakan Edul Adha ataupun sinonim dengan kita namakannya hari raya korban. Pada hari inilah kita sentiasa sibuk merayakannya, melayan tetamu yang datang berziarah ke rumah, menziarahi kubur (makruh sebenarnya ziarah kubur di hari raya pertama) selain rutin 'wajib' kita solat sunat Aidiladha serta kerja-kerja penyembelihan. Namun sedarkah kita disebalik peristiwa korban ini terkandung mesej yang sangat baik serta berguna buat kita umat Islam.


Kisah 1: KISAH KORBAN ANAK-ANAK NABI ADAM

Al_Quran menceritakan kisah Nabi Adam dalam beberapa surah di antaranya surah Al_Baqarah ayat 30 sehingga ayat 38 dan surah Al_A’raaf ayat 11 sehingga 25.

Firman Allah SWT.: “Kami berfirman: Turunlah kamu dari syurga itu. Kemudian jika datang petunjuk-Ku kepadamu, maka barangsiapa yang mengikuti petunjuk-Ku, nescaya tidak ada kekhuatiran atas mereka, dan tidak (pula) mereka bersedih hati.”
(Al-Baqarah: 38)

Ditakdirkan Allah SWT, setelah menerima taubat dan sebagai hukuman, Nabi Adam diturunkan ke bumi dari syurga kerana melanggar perintah Allah dengan mendengar pujukan Hawa (yang telah dihasut iblis selepas gagal menghasut Nabi Adam) dengan mendekati serta memakan buah dari pohon Khuldi, maka tinggallah Adam dan Hawa dibumi. Diceritakan Adam diturunkan di Bukit Safa dan Hawa di Bukit Marwah (kedua-dua bukit adalah di Mekah) namun diketemukan jua oleh Allah SWT akhirnya.

Maka hiduplah Adam dan Hawa sebagai manusia biasa di bumi Allah sehinggalah dikurniakan beberapa orang anak. Salah satunya adalah dua pasang kembar (lelaki & perempuan) iaitu Qabil dan Iqlima serta Habil dan Lubuda. Di bawah naungan ayah ibunya yang penuh cinta dan kasih sayang maka membesarlah keempat-empat anak itu sehingga menginjak masa remaja. Yang perempuan sesuai dengan kudrat dan fitrahnya menolong ibunya mengurus rumahtangga dan mengurus hal-hal yang menjadi tugas wanita, sedang yang laki-laki menempuhi jalannya sendiri mencari nafkah untuk memenuhi keperluan hidupnya. Qabil berusaha dalam bidang pertanian sedangkan Habil di bidang perternakan. Apabila sudah remaja, secara fitrahnya mereka ingin berkahwin bagi menuntut kehidupan yang lebih lengkap.

Diriwayatkan Qabil ini adalah seorang yang busuk hatinya, sentiasa tidak berpuas hati akan perintah bapanya. Sedang Habil adalah seorang yang mulia serta anak yang soleh. Diceritakan lagi Qabil ini mempunyai kembar yang jelita manakala Habil, kembarnya hodoh. Setelah diilhamkan Allah kepada Adam akan pernikahan Qabil dan Habil mestilah dengan pasangan kembar yang bukan satu kelahiran, Qabil masih lagi tidak berpuas hati dengan menolak perintah bapanya. Ini menyebabkan Qabil ingkar dengan tetap mahu berkahwin dengan kembar satu kelahirannya iaitu Iqlima. Oleh kerana itu Nabi Adam as. memberi peluang akan keinginan anaknya itu dengan cara menguji keikhlasan mereka. Maka Nabi Adam as. memerintahkan mereka mempersembahkan korban kepada Allah SWT. Bagi sesiapa yang korbannya diterima Allah, maka dialah yang layak berkahwin dengan Iqlima. Setelah itu, mereka berkorbanlah dengan mempersembahkan hasil tulang empat kerat mereka, iaitu Qabil dengan hasil tanamannya serta Habil dengan hasil ternakannya. Namun, Qabil yang sentiasa tamak, tidak berpuas hati walaupun telah diberi peluang mengikuti kehendak hatinya, telah mempersembahkan setompok sayur-sayuran yang busuk. Manakala Habil yang orangnya soleh dan ikhlas, telah menyerah seekor kambing betina yang gemuk dan sihat.

Setelah itu, sesetengah pendapat menyatakan terdapat jalur keputusan dari langit, ada sesetengahnya menyatakan datang api dari langit serta menyambar korban Habil menandakan Allah telah menerima korban Habil dan menolak korban Qabil. Melihat itu, Qabil menjadi sangat marah serta berkata kepada Habil "Aku mesti membunuh kamu!" supaya Habil tidak dapat mengahwini Iqlima. Habil menjawab " Sesungguhnya Allah hanya menerima korban dari orang yang bertaqwa."

Al-Quran ada mengisahkan cerita kedua putera Nabi Adam ini dalam surah"Al- Maaidah" ayat 27 sehingga ayat 32 .

Dipendekkan cerita, setelah sepermergian Nabi Adam as. meninggalkan rumah, Qabil pergi mencari Habil di tempat perternakkannya untuk membunuhnya. Apabila berjumpa, berkata ia kepada Habil:"Aku datang ke mari untuk membunuhmu. Masanya telah tiba untuk aku lenyapkan engkau dari atas bumi ini."

"Apa salahku?"tanya Habil. "Dengan asalan apakah engkau hendak membunuhku?"
Qabil berkata:"Ialah kerana korbanmu diterima oleh Allah sedangkan korbanku ditolak yang bererti bahawa engkau akan mengahwini adikku Iqlima yang cantik itu dan aku harus mengahwini adikmu yang buruk dan tidak mempunyai gaya yang menarik itu."
Habil berkata:"Adakah berdosa aku bahawa Allah telah menerima korbanku dan menolak korbanmu?Tidakkah engkau telah bersetuju cara penyelesaian yang diusulkan oleh ayah sebagaimana telah kami laksanakan?Janganlah tergesa-gesa wahai saudaraku, mempertaruhkan hawa nafsu dan ajakan syaitan! Kawallah perasaanmu dan fikirlah masak- masak akan akibat perbuatanmu kelak! Ketahuilah bahawa Allah hanya menerima korban dari orang-orang yang bertakwa yang menyerahkan dengan tulus ikhlas dari hati yang suci dan niat yang murni. Adakah mungkin sesekali bahawa korban yang engkau serahkan itu engkau pilihkannya dari gandummu yang telah rosak dan busuk dan engkau berikan secara terpaksa bertentangan dengan kehendak hatimu, sehingga ditolak oleh Allah, berlainan dengan kambing yang aku serahkan sebagai korban yang sengaja aku pilihkan dari perternakanku yang paling sihat dan kucintai dan ku serahkannya dengan tulus ikhlas disertai permohonan diterimanya oleh Allah. Renungkanlah, wahai saudaraku kata-kataku ini dan buangkanlah niat jahatmu yang telah dibisikkan kepadamu oleh iblis itu, musuh yang telah menyebabkan turunnya ayah dan ibu dari syurga dan ketahuilah bahawa jika engkau tetap berkeras kepala hendak membunuhku, tidaklah akan aku angkat tanganku untuk membalasmu kerana aku takut kepada Allah dan tidak akan melakukan sesuatu yang tidak diredhainya. Aku hanya berserah diri kepada-Nya dan kepada apa yang akan ditakdirkan bagi diriku."

Namun nasihat adiknya Habil tidak diendahkan akibat daripada hasutan iblis dengan rasa dendam dan dengki yang dalam, dibunuhnya juga Habil itu. Dibantu pula oleh iblis dengan menjelma seekor burung yang dipukul kepalanya dengan batu sampai mati. Contoh yang diberikan oleh iblis itu menyebabkan Qabil meniru cara pembunuhan untuk membunuh Habil. Diambil batu lalu memukul kepala Habil sehingga mati. Setelah mati, Qabil kebingungan sekali lagi kerana tidak tahu bagaimana untuk mengebumikan jenazah adiknya. Namun Allah SWT Yang Maha Pengasih lagi Maha Bijaksana, tidak rela melihat mayat hamba-Nya yang soleh dan tidak berdosa itu tersia-sia demikian rupa, maka dipertunjukkanlah kepada Qabil, bagaimana seekor burung gagak menggali tanah dengan kaki dan paruhnya, lalu menyodokkan gagak lain yang sudah mati dalam pertarungan, ke dalam lubang yang telah digalinya, dan menutupi kembali dengan tanah. Melihat contoh dan pengajaran yang diberikan oleh burung gagak itu, termenunglah Qabil sejenak lalu berkata pada dirinya sendiri:"Alangkah bodohnya aku, tidakkah aku dapat berbuat seperti burung gagak itu dan mengikuti caranya menguburkan mayat saudaraku ini?". Maka Qabil mengebumikan jenazah Habil dengan cara yang sama dengan burung tersebut.

Namun Allah itu Maha Adil lagi Bijaksana, sesetengah pendapat menceritakan bahawa Qabil telah mendapat hukuman pada hari yang sama dia membunuh saudaranya Habil dengan kaki-kakinya terangkat sampai ke tulang paha dan wajahnya dipaksa terarah kepada matahari.
Labels: 3 comments | edit post
bee
Sudah agak lama juga saya tidak mengemaskini blog ini sampaikan ditegur oleh seorang sahabat. Maaf dipohon atas kealpaan ini... Agak sibuk dengan program yang tersusun walaupun dihari minggu. Namun Alhamdulillah, semua program dan aktiviti berjalan lancar. Program NISA' terbaru adalah Team Building NISA' Terengganu yang dianjurkan NISA' Malaysia (Peringkat Pusat).

Bertempat di KUDQI (Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah, Kubang Lembek, Terengganu (Pusat Pengajian yang dikendalikan Ust. Harun Taib) pada 20 November baru-baru ini. Dihadiri kira-kira 200 orang.

Pengisian di dalam program ini amatlah memberangsangkan para peserta, tambahan pula ia dikendalikan sendiri oleh Ketua NISA' Malaysia- Dr. Rosni. Antara pengisiannya adalah memberi gambaran yang lebih jelas kepada AJK di peringkat Kawasan, Dun dan seterusnya ahli-ahli NISA'. Pengisian modul- Marching, Halatuju Nisa', Modul Ukhwah, Dialog bersama DMPKT, Nisa' Malaysia & Nisa' Terengganu, Modul Nisa' Attitude dan banyak lagi termasuk la Public Speaking & Presentation Khas yang dihoskan oleh Dr. Rosni sendiri.

Di sini saya kongsikan sedikit ilmu yang saya dapat semasa mengikuti program tersebut. Tahukah anda NISA' mengutamakan attitude yang baik di kalangan ahlinya seperti sifat Ibadurrahman- yakni; Golongan yang terpilih oleh Allah SWT untuk menjadi hamba yang menghambakan diri kepada Allah SWT. Antara sifat-sifat Ibadurrahman adalah:
1) Tawaddu'
2) Murah hati
3) Ketaatan
4) Takutkan neraka
5) Bersederhana
6) Tauhid
7) Mengelak permusuhan
8) Menjaga kehormatan
9) Taubat
10) Bercakap benar & meninggal perkara sia-sia
11) Tadabbur
12) Memohon kebaikan keluarga & menjadi pemimpin yang baik

Program Team Building ini biasanya disyorkan agar disertai oleh AJK diperingkat Kawasan-kawasan serta Dun-dun dari seluruh Terengganu kerana program ini bertujuan memantapkan serta mengukuhkan penggerak-penggeraknya. Disamping memberi semangat kepada AJK sedia ada supaya terus 'bekerja', ianya juga membantu ahli-ahli baru agar lebih mengenali hala tuju pertubuhan NISA' ini. Berasa lega program ini diadakan di Kuala Terengganu, tidaklah jauh sangat bagi saya, cuma memakan masa 3 jam perjalanan- Kemaman-K.Terengganu. Tambahan pula menaiki van baru PAS Kawasan Kemaman yang baru dibeli serta dirasmikan semasa program HIMPIT tempoh hari. Oleh kerana Terengganu adalah negeri yang paling ramai ahlinya, 25% ahli NISA' diseluruh negara adalah dari Terengganu, mungkin juga kerana itulah Pusat mengadakan program ini di sini. Untuk melihat lebih banyak gambar, silalah lawat blog NISA' Terengganu... :)
bee
Pertamanya ingin diucapkan tahniah buat adindaku, Md. Abdul Latif kerana berjaya melanjutkan pelajarannya ke Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun dalam kursus Sijil Kejuruteraan Mekanikal. Walaupun tahun lepas ada kesilapan terlewat menjawab penerimaan tawaran yang menyebabkan tidak dapat mengikuti kursus pilihan disana dan pengajian ke peringkat pengajian tinggi tertangguh selama dua tahun selepas SPM, namun kali ni kita lebih berhati-hati dengan tempoh yang diberikan. Ada hikmah disebalik kelewatan tersebut rupa-rupanya. Kalau dulu berjaya ditawarkan ke Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang, kali ni yang dekat pula ditawarkan.Tahniah Kakak ucapkan pada Atih. Semoga disana nanti sabar dan tekun dalam mencari ilmu. Sentiasalah berdoa kepada-Nya agar diberikan sesuatu yang terbaik oleh-Nya buat Atih. Kakak harap ini langkah pertama untuk Atih di pusat pengajian tinggi. Abik dulu sijil..tak ape..kita berkayuh perlahan asal sampai ke daratan. Ada rezeki lagi Atih boleh sambung ke peringkat yang seterusnya.

p/s: kena belanja Kak sebab tolong isi, semak,nasihat n semuanya serta proses2 permohonan sampai ke sini!

Tahniah juga buat sahabatku yang baru mengetahui permohonan pertukaran guru antara negerinya telah berjaya..yeehh!!
Labels: 0 comments | edit post
bee
Sebaik sahaja aku terima email dari seorang sahabat, terus aku entrikn kat sni. Minta sahabat-sahabat ambil la perhatian atas ketidak acuhan sesetengah pihak ini... Seorang ustaz dari malaysia telah berkunjung ke Indonesia (Sumatra) diatas jemputan salah seorang penduduk kampung di sana untuk memberikan ceramah disalah sebuah masjid.

Semasa lawatan beliau sekitar kampung di sana, beliau berasa terkejut apabila terlihat kawasan perkuburan di kampung berkenaan. Beliau pernah bertanya pada penduduk kampung berkenaan;

"Mengapa kubur islam dan kafir di semadikan bersama?"

Jawab penduduk kampung di sana :--
"Takkan maklaikat tak tau nak bezakan mana Islam mana kafir"

Anda fikir apa???
bee
Setiap orang mukmin wajib mengerjakan solat kerana solat itu adalah perintah dari Allah supaya didirikan oleh setiap mukmin samada lelaki atau perempuan. Antara Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah ayat 110:

Maksudnya :
"Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan."

Kealpaan aku dengan masa membuatkan aku lewat solat maghrib. Urusan dirumah belum lagi selesai. Didalam hati asyik berkata " sikit lagi..sikit lagi..." walaupun hati kecil menegur sudah lewat untuk solat. Tambahan pula waktu maghrib cuma sekejap. Asyik aku mengemas buku-buku di rak dengan cepat- mengejar masa- aku terpandang satu buku kulit depannya tertulis 'SOLAT', membuatkan aku terus terlintas... alangkah berdosanya aku melambat-lambatkan solat... Argghh.. urusan dunia tetap takkan habis. Lalu aku terus meninggalkan urusan tadi dan terus mengambil whudu' untuk solat.

Lega selesai solat...aku menunggu pula waktu Isyak. Tidak mahu melengah-lengahkannya lagi. Lagipun sudah tidak lama lagi akan masuk la tu waktu Isyak. Sementara di sejadah, berzikirlah sekejap. Itupun tidak lama...terasa penat, aku baring. Itulah manusia. Itulah aku...Ya Allah, ampunlah dosa-dosaku, segala kealpaanku, kecuaianku...terimalah setiap kali taubatku ya Allah....

Surah An-Nisaa' ayat 103 :
Maksudnya : "Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya."

Termenung dalam baringanku, membuatkan aku teringat akan satu kisah di zaman Rasullah SAW. Sebuah kisah pengajaran terhadap orang yang meninggalkan solat. Seorang lelaki yang tidak pernah solat semasa hidupnya.

Seorang kanak-kanak datang mengadap Rasulullah s.a.w sambil menangis. Hal itu mennghairankan Rasulullah yang sedang duduk bersama sahabat-sahabatnya. "Mengapa engkau menangis anakku?" Tanya Rasulullah. "Ayahku telah meninggal, tetapi tidak seorangpun datang melawat. Aku tidak mempunyai kain kafan. Siapakah yang akan memandikan ayhku dan mengkebumukannya?" Tanya anak itu.Nabi lalu menyuruh Abu Bakar dan Umar pergi melihat jenazah tersebut. Kedua mereka amat terkejut setelah melihat mayat itu sudah bertukar menjadi babi hutan. Mereka pun segera pergi memberitahu Rasulullah.Maka Rasulullah dating sendiri ke rumah anak itu. Baginda berdoa kepada Allah sehingga babi hutan itu bertukar menjadi jenazah manusia. Kemudian Rasulullah menyembahyangkan jenazah tersebut. Ketika jenazah itu hendak dikebumikan ia berubah menjadi babi hutan semula.Melihat kejadian itu Rasulullah bertanya kepada kana-kanak tersebut apakah yang dilakukan oleh ayahnya sewaktu hidupnya. "Ayahku tidak pernah mengerjakan solat sepanjang hidupnya," jawab anak itu. Kemudian Rasulullah bersabda kepada para sahabatnya, "Para sahabat lihatlah sendiri. Begitulah akibatnya bila orang meninggalkan solat selama hidupnya. Ia akan menjadi babi hutan di hari kiamat."

Semoga kelak aku tidak lagi alpa dalam mengerjakan solat. Semoga Allah memelihara diriku dan orang-orang yang aku sayangi. Amin.

Labels: 0 comments | edit post
bee
Tanggal 29-31 Oct baru-baru ini, pemuda PAS Terenganu di semua peringkat kawasan telah berkampung di Dataran Tok Guru, Geliga, Kemaman bagi menjayakan program HIMPIT 10K 2009. Program HIMPIT [Himpunan Pemuda Islam Terengganu] kali ini bertempat di Kawasan Kemaman. Acara tahunan ini bertujuan untuk menghimpunkan serta mengeratkan silaturrahim antara pemuda disamping pelbagai acara menarik seperti sumbangan fakir miskin dan jamuan rakyat ,mini expo, pertandingan karaoke nasyid, tarik tali, motor lambat , sukan pantai, rawatan Islam Darus Syifa dan banyak lagi. Tambahan pula lokasi Dataran Tok Guru ini adalah ditepi pantai. Banyak khemah-khemah didirikan oleh pemuda yang bermalam disini. Dibawah pohon-pohon rhu, bagai sebuah kampung baru didirikan. Angin pantainya yang nyaman sudah tentu membuatkan mereka tidak kepanasan walaupun berada dia dalam khemah. Kalau ikutkan hati aku, mahu juga aku berkhemah disitu..tapi difikirkan kembali, tidaklah sesuai dengan aku. Kerana aku adalah seorang ......:)

Namun, oleh kerana program ini di Kemaman, jadi boleh la aku berkampung juga walaupun aku bukanlah pemuda sebenarnya. Jangan salah faham..aku berkampung atas nama NISA'..heehe. NISA' Kemaman telah mengambil satu booth ditapak program bagi turut mengadakan aktiviti tersendiri seperti Games NISA', teka biji betik dan kacang, membantu perkhidmatan rawatan percuma selain dari tujuan asal iaitu mendapatkan keahlian baru dengan mempromosi JOM JOIN NISA' bagi memperkenalkannya di kalangan remaja perempuan. Selain aktiviti itu, kami juga membuat sedikit jualan bagi menambah kewangan tabung Nisa' dun masing-masing.

Dua hari berturut-turut berada di sana membuatkan aku 'lupa' sebentar hal-hal dirumah dan tempat kerja. Beginilah jika berada didalam jemaah. Sedikit ketegangan dalam menguruskan hal rumahtangga serta kesibukan ditempat kerja di'rehat'kan sekejap dengan program-program lain. Sebelum kepenatan, terasa gembira dengan aktiviti-aktiviti seperti ini. Ramai kanak-kanak dan muslimat memenuhi booth kami untuk menyertai permainan yang kami sediakan. Kadang-kadang dicelah singgah juga oleh pemuda. Agaknya menarik perhatian mereka apabila sekali sekala kedengaran riuh rendah suara kanak-kanak bersorak apabila ada yang menang dalam permainan. Lagipun acara meneka biji betik dan kacang terbuka kepada pemuda juga. Bahkan permainan meneka kacang telah dimenangi oleh seorang pemuda dari Dungun-kalau tak silap. Selain aktiviti-aktiviti tersebut, kami juga sibuk melayan pelanggan yang ingin membeli. Fuuhhh.. tidak menang tangan kami petugas-petugas NISA' dalam 5-6 orang ni dibuatnya.

Part paling aku suka pada prorgam ini adalah semasa bacaan ikrar pemuda. Bederau darah aku. Sumpah dan ikrar mereka terhadap jemaah ini dalam terus menjulang Islam, sumpah tidak akan meninggalkan jihad ini. Sambil sebahagian panji-panji dan anggota Unit Amal mengangkat bendera PAS serta sebahagian lagi mengangkat tangan sambil menggenggam tangan sahabat seperjuangan disebelah, sumpah mereka dilaungkan dengan penuh semangat, ikhlas dan berserah diri kepada ALLAH. Semoga Allah memelihara mereka ini...

Akhirnya, selesai juga program ini dengan jayanya. Sikap pemuda PAS Terengganu haruslah dipuji. Dengan rasa tanggungjwabnya mereka tetap meninggalkan kampung halaman serta hal peribadi selama 2-3 hari [selain pemuda di Kemaman] bagi menghadiri program ini. Dari Besut sampai la ke Dungun, semuanya turun ke Kemaman atas rasa tanggungjawab dan mengikut arahan pimpinan agar berhimpun disini supaya program ini berjaya.

Majlis penutup telah diakhiri dengan acara perasmian sebuah van baru milik PAS Kawasan Kemaman oleh YB. Tuan Hj. Wahid Endut.

Akhir kata, dikesempatan ini, NISA' Kemaman juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua petugas serta pihak yang terlibat dalam memberi sumbangan samada secara langsung dan tidak langsung. Insya'allah jumpa lagi di lain program. Wallahu'alam.