bee
Lanjutan dari kisah siri pertama iaitu kisah korban anak Nabi Adam, kini ana kisahkan pula tentang pengorbanan Nabi Ibrahim, isterinya Siti Hajar serta anaknya Ismail as.

Kisah 2: KISAH KORBAN ANAK NABI IBRAHIM

Allah SWT telah memilih Nabi Ibrahim berada dari golongan orang yang beriman kepadaNya. Walaupun dilahir dan dibesarkan bukan didalam keluarga yang beriman kepada Allah, bapanya Azar menyembah berhala, Baginda tetap merasakan bahawa dengan menyembah berhala itu adalah salah dan sesat. Allah menjadikan Ibrahim seorang yan bijak menilai. Dicampak Allah akan rasa logik akal yang memnyembah patung itu adalah sia-sia. Sedangkan patung itu sendiri dibuat oleh tangan-tangan manusia, bahkan patung itu juga tidak dapat berbuat apa-apa. Didatangi fitrah manusia akan rasa ingin menyembah Pencipta, suatu malam Ibrahim merasakan bahawa bintang di langitlah penciptanya, namun bila tiba hari yang terang, maka hilanglah bintang tersebut. Oleh sebab itu, ketahuilah Ibrahim yang bintang itu bukanlah pencipta kerana ia hilang setelah muncul pada waktu malam. Sesungguhnya pencipta itu tidaklah sekejap ada sekejap hilang. Dari situlah Allah SWT. memberi hidayah kepada Ibrahim as.

Ibrahim telah berkahwin dengan Siti Sarah, seorang wanita Yahudi bangsawan. Bertahun lamanya tidak dikurniakan anak. Maka Ibrahim berkahwin lagi dengan seorang wanita hadiah daripada raja Mesir ketika itu, Siti Hajar. Berlainan asal taraf hidup dengan Siti Sarah, Siti Hajar adalah wanita berketurunan hamba, bukan dari bangsa Yahudi. Dengan Siti Hajar, dikurniakan seorang anak lelaki, namanya Ismail. Ketika inilah bermulanya keretakkan rumahtangga mereka- Siti Sarah merasakan Ibrahim lebih banyak mendekati Siti Hajar sehingga dapat melahirkan zuriat serta setelah adanya Ismail, Ibrahim lebih banyak meluangkan masa bermain dengan putera sulungnya. Sedangkan dia sudah bertahun bersama Ibrahim tetapi tetap belum dikurniakan anak. Tambahan pula Siti Hajar itu tidaklah sama taraf hidupnya dengan Siti Sarah yang memang berasal dari golongan bangsawan. Dari kejadiaan itulah, Siti Sarah meminta suaminya menjauhkan Siti Hajar untuk ditinggalkan di suatu tempat supaya akan dijumpai orang lalu diambil orang yang menjumpai mereka. Dengan hikmah tersembunyi, Allah telah perintahkan Ibrahim as. menuruti keinginan Siti Sarah lalu membawa Siti Hajr ke suatu tempat yang kering dari rezeki dan tidak diduduki orang untuk ditinggalkan seorang diri bersama putera kecilnya itu. Ibrahim as. sedar inilah ujian demi ujian yang Allah berikan kepadanya demi menguji keimanannya. Dengan rasa berserah diri kepada Allah, maka Ibrahim as. pun membawa Siti Hajar dan Ismail dari Palestin ke tempat yang dia sendiri tidak tahu tanpa pengetahuan Siti Hajar akan niat Ibrahim as. untuk meninggalkan dirinya. Ditunggangi unta oleh mereka, Ibrahim hanya berserah kemana unta itu akan berhenti kelak. Disitulah tempat yang akan Ibrahim tinggalkan mereka nanti. Setelah beberapa hari melalui padang pasir yang panas terik, tiadalah pohon-pohon untuk berteduh, gelap gelita dimalam hari, sudahlah tidak dihuni orang, apabila sampai, -di lembah Makkah, di tempat di mana Masjidil Haram sekarang berada, berhentilah unta Nabi Ibrahim as. mengakhiri perjalanannya dan di situlah ia meninggalkan Hajar bersama puteranya dengan hanya dibekali dengan serantang bekal makanan dan minuman sedangkan keadaan sekitarnya tiada tumbuh-tumbuhan, tiada air mengalir, yang terlihat hanyalah batu dan pasir kering. Tibalah masanya Ibrahim as. meninggalkan Siti Hajar. Kesedihan Siti Hajar tidak dapat disembunyikan apabila mengetahui suaminya mahu meninggalkan dirinya seorang diri bersama Ismail mengundang perasaan sayu oleh Ibrahim as. Alangkah sayunya perasaan Ibrahim as. apabila mahu melangkah pergi, terasa berat hatinya mahu meninggalkan isteri tercinta. Namun itulah dia, wanita solehah yang dipilih oleh Allah SWT. yang akan menghuni syurgaNya. Dengan rasa redha atas segala perintah Allah SWT., dibiarkan Ibrahim pergi meninggalkan mereka demi menurut perintah Allah...

Setelah itu, Ibrahim as. pulang semula ke Palestin untuk bersama Sarah. Didalam hatinya sentiasa memohon kepada Allah SWT., agar diselamatkan isteri dan anaknya. Ia berkata dalam doanya:

" Wahai Tuhanku! Aku telah tempatkan puteraku dan anak-anak keturunannya di dekat rumah-Mu (Baitullahil Haram) di lembah yang sunyi dari tanaman dan manusia agar mereka mendirikan solat dan beribadat kepada-Mu. Jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berilah mereka rezeki dari buah-buahan yang lazat, mudah-mudahan mereka bersyukur kepada-Mu."

Dilembah Makkah yang tiada penghuni itulah Siti Hajar bersama putera kesayangannya. Ketika Siti Hajar keseorangan bersama puteranya, kesabarannya tetap menebal. Dari Bukit Safa ke Bukit Marwah lah Siti Hajar berlari-lari anak mencari air untuk diberikan kepada anaknya. Disinilah umat Islam melakukan rukun sa'i ketika menunaikan haji. Dengan kuasa Allah SWT., dihujung tapak kaki Ismail rupanya keluar air. Di situlah tempatnya kini dipanggil telaga Zamzam. Air Zamzam inilah kurnian dari Allah SWT., bagi membantu hambanya yang beriman.

Dengan terpancutnya air Zamzam telah menarik burung-burung berterbangan mengelilingi tempat itu, menarik pula perhatian sekelompok bangsa Arab dari suku Jurhum yang merantau dan sedang berkhemah di sekitar Makkah. Mereka mengetahui dari pengalaman bahawa di mana ada terlihat burung di udara, nescaya dibawahnya terdapat air, maka diutuslah oleh mereka beberapa orang untuk memeriksa kebenaran ini. Para pemeriksa itu pergi mengunjungi daerah di mana Hajar berada, kemudian kembali membawa berita gembira kepada kaumnya tentang mata air Zamzam dan keadaan Hajar bersama puteranya. Segera sekelompok suku Jurhum itu memindahkan perkhemahannya ke tempat sekitar Zamzam, di mana kedatangan mereka disambut dengan gembira oleh Hajar kerana adanya sekelompok suku Jurhum di sekitarnya, ia memperolehi jiran-jiran yang akan menghilangkan kesunyian dan kesepian yang selama ini dirasakan di dalam hidupnya berduaan dengan puteranya saja.

Nabi Ibrahim dari masa ke semasa pergi ke Makkah untuk mengunjungi dan menjenguk Ismail di tempat pengasingannya bagi menghilangkan rasa rindu hatinya kepada puteranya yang ia sayangi serta menenangkan hatinya yang selalu rungsing bila mengenangkan keadaan puteranya bersama ibunya yang ditinggalkan di tempat yang tandus, jauh dari masyarakat kota dan pengaulan umum ketika itu. Sewaktu Nabi Ismail sedang membesar, Ibrahim a.s. mendapat mimpi bahwa ia harus menyembelih Ismail puteranya. Dan mimpi seorang nabi adalah salah satu dari cara-cara turunnya wahyu Allah, maka perintah yang diterimanya dalam mimpi itu harus dilaksanakan oleh Ibrahim as. Ia duduk sejurus termenung memikirkan ujian yang maha berat yang ia hadapi. Sebagai seorang ayah yang dikurniai seorang putera yang sejak puluhan tahun diharap-harapkan dan didambakan, seorang putera yang diharapkan menjadi pewarisnya dan penyampung kelangsungan keturunannya, tiba-tiba harus dijadikan korban dan harus direnggut nyawa oleh tangan si ayah sendiri. Sungguh amat berat ujian yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim, namun sesuai dengan firman Allah yang bermaksud:

"Allah lebih mengetahui di mana dan kepada siapa Dia mengamanatkan risalahnya".

Ibrahim as. tidak membuang masa lagi, berazam (niat) tetap akan menyembelih Ismail, puteranya sebagai korban sesuai dengan perintah Allah yang telah diterimanya.

Ismail sebagai anak yang soleh yang sangat taat kepada Allah dan bakti kepada orang tuanya, ketika diberitahu oleh ayahnya maksud kedatangannya kali ini tanpa ragu-ragu dan berfikir panjang berkata kepada ayahnya:

"Wahai ayahku! Laksanakanlah apa yang telah diperintahkan oleh Allah kepadamu. Engkau akan menemuiku insya-Allah sebagai seorang yang sabar dan patuh kepada perintah. Aku hanya meminta dalam melaksanakan perintah Allah itu, agar ayah mengikatku kuat-kuat supaya aku tidak banyak bergerak sehingga menyusahkan ayah, kedua agar menanggalkan pakaianku supaya tidak terkena darah yang akan menyebabkan berkurangnya pahalaku dan terharunya ibuku bila melihatnya, ketiga tajamkanlah parangmu dan percepatkanlah perlaksanaan penyembelihan agar meringankan penderitaan dan rasa pedihku, keempat dan yang terakhir sampaikanlah salamku kepada ibuku. Berikanlah kepadanya pakaian ku ini untuk menjadi penghiburnya dalam kesedihan dan tanda mata serta kenang-kenangan baginya dari putera tunggalnya."

Allahuakbar...tidak dapat ana bayangkan...Maha Suci Allah yang menciptakan alam ini....

Kemudian dipeluknyalah Ismail dan dicium pipinya oleh Ibrahim as. seraya berkata:

"Bahagialah aku mempunyai seorang putera yang taat kepada Allah, bakti kepada orang tua yang dengan ikhlas hati menyerahkan dirinya untuk melaksanakan perintah Allah".

Saat penyembelihan yang mengerikan telah tiba. Diikatlah kedua tangan dan kaki Ismail, dibaringkanlah ia di atas lantai, lalu diambillah parang tajam yang sudah tersedia dan sambil memegang parang di tangannya, kedua mata Ibrahim as. yang tergenang air berpindah memandang dari wajah puteranya ke parang yang mengilap di tangannya, seakan-akan pada masa itu hati beliau menjadi tempat pertarungan antara perasaan seorang ayah di satu pihak dan kewajiban seorang rasul di satu pihak yang lain. Pada akhirnya dengan memejamkan matanya, parang diletakkan pada leher Ismail dan penyembelihan di lakukan . Akan tetapi apa daya, parang yang sudah demikian tajamnya itu ternyata menjadi tumpul dileher Ismail dan tidak dapat berfungsi sebagaimana mestinya dan sebagaimana diharapkan.

Kejadian tersebut merupakan suatu mukjizat dari Allah yang menegaskan bahwa perintah perkorbanan Ismail itu hanya suatu ujian bagi Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sampai sejauh mana cinta dan taat mereka kepada Allah. Ternyata keduanya telah lulus dalam ujian yang sangat berat itu. Nabi Ibrahim telah menunjukkan kesetiaan yang tulus dengan pengorbanan puteranya untuk berbakti melaksanakan perintah Allah sedangkan Nabi Ismail tidak sedikit pun ragu atau bimbang dalam memperagakan kebaktiannya kepada Allah dan kepada orang tuanya dengan menyerahkan jiwa raganya untuk dikorbankan, sampai-sampai terjadi seketika merasa bahawa parang itu tidak lut memotong lehernya, berkatalah ia kepada ayahnya:

" Wahai ayahku! Rupa-rupanya engkau tidak sampai hati memotong leherku karena melihat wajahku, cubalah telengkupkan aku dan laksanakanlah tugasmu tanpa melihat wajahku. "

Akan tetapi parang itu tetap tidak berdaya mengeluarkan setitik darah pun dari daging Ismail walau ia telah ditelengkupkan dan dicuba memotong lehernya dari belakang.
Dalam keadaan bingung dan sedih hati, kerana gagal dalam usahanya menyembelih puteranya, datanglah kepada Nabi Ibrahim wahyu Allah dengan firmannya:

"Wahai Ibrahim! Engkau telah berhasil melaksanakan mimpimu, demikianlah kami akan membalas orang-orang yang berbuat kebajikkan."

Kemudian sebagai tebusan ganti nyawa, Ismail telah diselamatkan, Allah telah menggantikan Ismail dengan seekor kibas yang telah tersedia di sampingnya dan segera dipotong leher kibas tersebut.

Diriwayatkan Nabi Ismail mempunyai 12 anak lelaki dan seorang anak perempuan yang dikahwinkan dengan anak saudaranya, iaitu Al-’Ish bin Ishak. Nabi Ishak adalah adik beradik Nabi Ismail. Ishak as. adalah anak kepada Siti Sarah yang berketurunan bangsawan Yahudi itu. Daripada keturunan Nabi Ismail inilah lahir Nabi Muhammad SAW dari Bani Hasyim. Keturunan Nabi Ismail juga mewujudkan bangsa Arab Musta’ribah.

Dan inilah asal permulaan sunnah berqurban yang dilakukan oleh umat Islam pada setiap Hari Raya Edul Adha di seluruh dunia. Semoga dapatlah kita menghayati makna sebenar amalan korban yang kita lakukan selama ini. Sesungguhnya, maksud yang terkandung di dalam amalan itu lebih jauh perlunya kita serapkan dalam diri kita sebagai hambaNya. Inilah dua contoh pengorbanan (anak Nabi Adam as., Ibrahim as dan Ismail as.) yang dilakukan demi mendapat keredhaan dari Allah yang dapat kita contohi. Semoga Allah juga menerima setiap dari amalan yang kita laku. Amin.

Selamat Menyambut Edul Adha..Maaf zahir & batin..:)
Labels: edit post
0 Responses

Post a Comment