bee
Agak belum terlambat rasanya untuk ana letakkan entri ini. Tanggal hari ini adalah 5 Muharram 1431 dan kini kita berada dihujung 2009. Sekejap hari lagi kita turut menyambut tahun baru 2010. Rata-rata kebiasaannya kita semua akan memasang nekad baru menjelang penghijrahan tahun demi tahun. Namun disebalik azam tahun baru itu samada nekad Muharram maupun Januari, sejauh manakah kekuatan azam baru itu boleh membentuk diri kita ke arah kebaikkan demi kebaikkan. Sudah menjadi budaya masyrakat di negara kita setiap kali Muharram tiba, akan ada di televisyen rancangan-rancangan yang berkaitan dengan hijrah ini. Pertandingan nasyid, syair, teater kisah Nabi Muhammad serta sahabat. Tidak kurang juga budaya menyambut Tahun Baru dengan pesta-pesta muda mudi di malam tahun baru. Tidak perlulah disebut di sini pesta apa. Kita orang muda sudah tentu tahu akan aktiviti dimalam hari tahun baru setiap tahun. Inilah yang berlaku dalam negara kita. Tahun ini kita menyambut kedua-dua tahun baru (1431H dan 2010) agak serentak. Sesudah menyambut Maal Hijrah, detik 12 malam tidak lupa juga... tetapi rasanya kehangatan detik 12 malam adalah yang sangat dinanti-nantikan. Daripada rakyat biasa hinggalah kepada pemimpin tertinggi. Adakah ini dipanggil pemikiran fleksibel. Putih boleh...hitam pun boleh. Inilah yang perlu difikirkan oleh kita generasi muda yang cintakan Islam sebenar. Anda bagaimana? Kali ini apa pula azam anda? Bagaimana anda bezakan antara azam Maal Hijrah dengan azam Tahun Baru? Sejauh mana anda melihat dengan jiwa anda perbezaan sambutan Maal Hijrah dengan Tahun Baru? Tepuk dada tanyalah selera....
Labels: 0 comments | edit post
bee
Sebuah stesen tv di Hongkong kini sedang cuba menerbitkan sebuah drama bersiri yang mengisahkan pembunuhan Altantuya Shaaribu yang berlaku 3 tahun lalu di Malaysia. Drama tersebut dijangka akan ditayangkan pada tahun 2010 nanti. Cumanya nanti dekat Malaysia ana rasa mestilah diharamkan drama tersebut untuk ditayangkan di stesen tv kita...

Bekas wartawan Susan Loone mengatakan bahawa Hong Kong akan menghasilkan sebuah drama siri berdasarkan pemberitaan seorang wartawan Perancis, Arnaud Dubus tentang pembunuhan Altantuya dari akhbar La Liberation.Drama bersiri tersebut akan dinamakan “Ulaanbaatar, Paris, Kuala Lumpur”. Watak Altantuya akan dimainkan oleh Sonija Kwok, Najib Tun Razak oleh pelakon veteran Kwok Fung, Razak Baginda oleh Bill Chan Sek Sau dan Rosmah Mansur oleh Rebecca Chan.

Cerita ini menglibatkan politik, skandal perempuan, senjata api seterusnya kepada pembunuhan kejam.

p/s: Ulaan Bataar tu adalah ibu negara Mongolia yang membawa maksud Pahlawan Merah.
bee
Sedikit coretan peribadi ana ketika bercuti raya...

27hb baru ni, kita merayakan hari mulia Edul Adha. Diseluruh pelosok dunia, hari ini umat Islam melakukan ibadah korban dengan menyembelih binatang ternakan. Bila disebut sahaja raya korban, ana memang sudah lama teringin untuk merasa suasana hari ini di kampung-kampung. Dari dulu lagi memang tersohor kalau disebelah Pantai Timur, hari raya ini meriah. Oleh kerana ana ni memang berasal dari Kemaman, sehingga sekarang tinggal dan bekerja di Kemaman (cuma sekejap merantau kerana menuntut ilmu di negeri orang) dan ditakdirkan ana dilahirkan di Chukai iaitu merupakan pusat bandar Kemaman, maka ana kira tempat ana bukan lah menepati ciri-ciri kekampungan walaupun berada di Pantai Timur. Suasana yang digambarkan selalunya di televisyen sangatlah unik dengan pohon-pohon, jiran-jiran, rumah-rumah kayu dan sebagainya. Namun Allah SWT itu Maha Bijaksana, diketemukan ana dengan jodoh yang mana berasal dari kampung yang 'asli'. Bersyukur ana bukan hanya kerana dijodohkan dengan 'orang kampung', tetapi lebih bersyukur ana kerana dikurniakan Allah SWT terhadap ana seorang suami yang baik. Kebetulan cuma dia berasal dari sebuah kampung yang 'unik' yang diidam-idamkan ana..:) Jadi kesempatan berhari raya baru-baru ini sempat ana rakamkan buat kenang-kenangan didalam blog ini. Suami ana ini memang dibesarkan oleh nenek dan datuknya dikampung. Lagipun beliau adalah cucu sulung buat datuk dan neneknya. Jadi, setiap kali ada hari cuti umum atau kesempatan pulang menjenguk orang tua, rumah datuk dan neneknya lah yang kami tujui. Tambahan pula ibunya sudah meninggal dunia 25 tahun yang lepas, manakala ayahnya juga meninggal dunia hampir 10 tahun yang lalu. Semasa majlis menyambut menantu ketika perkahwinan kami, rumah datuk dan neneknyalah dilangsungkan.

Kesempatan pulang pada malam raya ke kampung mertua yang terletak di Kampung Mangkuk, Setiu ini selama 4 hari, membuatkan kami merasa tenang dan damai...jauh dari kesibukkan rutin harian kami. Kebetulan pula 4 hari tersebut tidak hujan setelah berhari-hari hujan tidak berhenti sebelum hari raya. Oleh kerana hari raya pertama jatuh pada hari Jumaat, aktiviti kami agak terhad dan tidaklah sibuk oleh sebab suami menunggu waktu solat Jumaat pula. Selesai solat sunat hari raya di masjid berdekatan, kami pulang untuk makan pagi- Adalah sunat makan pagi selepas solat sunat pada hari raya korban, manakala hari raya puasa, sunat makan pagi sebelum solat.

Seperti biasa, pada hari raya kedua, kami menziarah saudara mara yang berdekatan. Apa yang menyeronokkan adalah pada hari ketiga dan keempat. Kami melakukan aktiviti kami sendiri. Tambahan pula tetamu pun sudah berkurangan berkunjung ke rumah. Pada sebelah pagi, ana menghantar suami bersama datuk ke sungai di belakang rumah untuk memancing udang. Terdapat sebuah sampan milik datuk, senang untuknya mudik ketika disungai. Dibawa bersama mereka, dipanggilnya 'gogoh' alat menangkap udang itu. Ianya seperti bubu kecil yang diliputi luarannya dengan kain guni serta di bubuh umpan di dalamnya. Diikat dengan tali semasa di dalam sungai supaya senang untuk mengangkatnya serta tidak dibiarkan hanyut dibawa arus. Biasanya 'gogoh' ini diikat dengan pelepah pohon nipah di tepi-tepi sungai yang tumbuh. Tambahan pula di bawah pohon-pohon didalam air sungai ini terdapat banyak udang. Ianya seolah-olah unjang untuk biakan ikan serta udang. Setelah hampir 4 jam di sungai, balik la mereka dengan hasil tangkapan sungai. Sungguh segar rasa udang-udang ini. Tambahan pula nenek yang memasaknya. Ana bukanlah profesional sangat bab-bab memasak ni.. :)

Apa yang menyeronokkan lagi adalah ana berkesempatan menaiki sampan berdua-duaan bersama suami setelah mereka pulang memunggah udang yang telah ditangkap. Kali ini kami sekali lagi ke sungai besar bukan untuk menangkap udang tetapi untuk mencari buah nipah. Mulanya ana lah yang teringin hendak makan buah nipah. Lalu suami ingin mengotakan keinginan ana dengan ke sungai besar sekali lagi mencari buah nipah yang sedang elok dimakan. Kali ini ana dengan suami sahaja. Suami mengayuh perlahan sedang ana agak ketakutan ketika menyusur melawan arus, tambah-tambah ketika menghampiri pohon-pohon nipah. Sudahlah tidak memakai 'life jacket', hanya berserah diri kepada Allah SWT. Mula sampai ditepi-tepi pohon nipah, memang menakutkan. Melihat pelepah-pelepah pohon nipah yang berjuntai, mengingatkan ana kepada macam-macam binatang bisa dicelah-celah pohon itu. Ular, buaya, biawak, entah macamana harimau pun ada dalam fikiran ana. Aduhai....penakutnya ana. Sedang suami hanya tenang membelek daun-daun nipah mencari buahnya. Setelah hampir setengah jam, kami berkayuh pulang. Itupun setelah asyik didesak ana mengajak pulang kerana ketakutan berada lama di dalam sungai. Lagipun sudah 3 tandang buah nipah kami pungut. Cukup la tu untuk ana makan...:)Tengahari itu, kami menjamah selera kampung hasil masakan nenek. Turut dibantu oleh ana lah semasa memasak di dapur. Riuh rendah dibuatnya ana ketika menyiang udang. Maklumla ana geli juga udang-udang yang baru diangkat dari 'gogoh' itu masih ada yang hidup. Akhirnya nenek juga yang selesaikannya...

Keesokkan harinya, tiba la kami pulang semula ke Kemaman. Terasa berat untuk pulang. Dirancang kami mahu pulang awal pagi bagi mengelak dari kesesakkan jalanraya, namun sampai pukul 10 pagi pun kami masih bersantai-santai diberanda rumah. Sambil mengemas, sambil bersembang, satu lagi aktiviti seronok yang tidaklah kami rancang...minum air kelapa muda. Yang seronoknya, kelapa muda di ambil sendiri dari pohonnya. Pohon kelapa memang banyak di depan rumah. Dipilih suami pohon yang paling rendah untuk diambil buahnya. Dengan hanya menggunakan galah, kelapa muda mudah dikait. Jadi sempatkah kami menjamu selera meminum air kelapa muda sebelum bertolak pulang ke Kemaman. Dengan perut kenyang akhirnya kami bertolak pulang juga. Dibekalkan beberapa biji buah kepala, udang, keropok dan macam-macam lagi oleh nenek. Semuanya dibungkus elok serta dimuatkan ke bonet kereta. Begitulah setiap kali jika pulang ke kampung suami... Terima kasih banyak-banyak buat mak dan ayah. Bersyukur ana kerana diberikan Allah SWT akan keluarga mertua yang baik...

p/s: Nenek dan datuk suami, ana panggil mak ayah sebab suami panggil mereka mak dan ayah sejak kecil lagi...
Labels: 0 comments | edit post