Sedikit coretan peribadi ana ketika bercuti raya...
27hb baru ni, kita merayakan hari mulia Edul Adha. Diseluruh pelosok dunia, hari ini umat Islam melakukan ibadah korban dengan menyembelih binatang ternakan.

Kesempatan pulang pada malam raya ke kampung mertua yang terletak di Kampung Mangkuk, Setiu ini selama 4 hari, membuatkan kami merasa tenang dan damai...jauh dari kesibukkan rutin harian kami. Kebetulan pula 4 hari tersebut tidak hujan setelah berhari-hari hujan tidak berhenti sebelum hari raya. Oleh kerana hari raya pertama jatuh pada hari Jumaat, aktiviti kami agak terhad dan tidaklah sibuk oleh sebab suami menunggu waktu solat Jumaat pula. Selesai solat sunat hari raya di masjid berdekatan, kami pulang untuk makan pagi- Adalah sunat makan pagi selepas solat sunat pada hari raya korban, manakala hari raya puasa, sunat makan pagi sebelum solat.
Seperti biasa, pada hari raya kedua, kami menziarah saudara mara yang berdekatan. Apa yang menyeronokkan adalah pada hari ketiga dan keempat. Kami melakukan aktiviti kami sendiri. Tambahan pula tetamu pun sudah berkurangan berkunjung ke rumah. Pada sebelah pagi, ana menghantar
suami bersama datuk ke sungai di belakang rumah untuk memancing udang. Terdapat sebuah sampan milik datuk, senang untuknya mudik ketika disungai. Dibawa bersama mereka, dipanggilnya 'gogoh' alat menangkap udang itu. Ianya seperti bubu kecil yang diliputi luarannya dengan kain guni serta di bubuh umpan di dalamnya. Diikat dengan tali semasa di dalam sungai supaya senang untuk mengangkatnya serta tidak dibiarkan hanyut dibawa arus. Biasanya 'gogoh' ini diikat dengan pelepah pohon nipah di tepi-tepi sungai yang tumbuh. Tambahan pula di bawah pohon-pohon didalam air sungai ini terdapat banyak udang. Ianya seolah-olah unjang untuk biakan ikan serta udang. Setelah hampir 4 jam di sungai, balik la mereka dengan hasil tangkapan sungai.
Sungguh segar rasa udang-udang ini. Tambahan pula nenek yang memasaknya. Ana bukanlah profesional sangat bab-bab memasak ni.. :)


Apa yang menyeronokkan lagi adalah ana berkesempatan menaiki sampan berdua-duaan bersama suami setelah mereka pulang memunggah udang yang telah ditangkap. Kali ini kami sekali lagi ke sungai besar bukan untuk menangkap udang tetapi untuk mencari buah nipah. Mulanya ana lah yang teringin hendak makan buah nipah. Lalu suami ingin mengotakan keinginan ana dengan ke sungai besar sekali lagi mencari buah nipah yang sedang elok dimakan.

Keesokkan harinya, tiba la kami pulang semula ke Kemaman. Terasa berat untuk pulang. Dirancang kami mahu pulang awal pagi bagi mengelak dari kesesakkan jalanraya, namun sampai pukul 10 pagi pun kami masih bersantai-santai diberanda rumah. Sambil mengemas, sambil bersembang, satu lagi aktiviti seronok yang tidaklah kami rancang...minum air kelapa muda. Yang seronoknya, kelapa muda di ambil sendiri dari pohonnya.
Pohon kelapa memang banyak di depan rumah. Dipilih suami pohon yang paling rendah untuk diambil buahnya. Dengan hanya menggunakan galah, kelapa muda mudah dikait. Jadi sempatkah kami menjamu selera meminum air kelapa muda sebelum bertolak pulang ke Kemaman. Dengan perut kenyang akhirnya kami bertolak pulang juga. Dibekalkan beberapa biji buah kepala, udang, keropok dan macam-macam lagi oleh nenek. Semuanya dibungkus elok serta dimuatkan ke bonet kereta. Begitulah setiap kali jika pulang ke kampung suami... Terima kasih banyak-banyak buat mak dan ayah. Bersyukur ana kerana diberikan Allah SWT akan keluarga mertua yang baik...

p/s: Nenek dan datuk suami, ana panggil mak ayah sebab suami panggil mereka mak dan ayah sejak kecil lagi...
Post a Comment